Covid-19: Cabaran pengedaran vaksin berskala besar

Washington: Amerika Syarikat (AS) berdepan cabaran apabila mungkin menjadi negara pertama yang melakukan proses vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran, dengan lebih 600 juta dos dalam tempoh hanya beberapa bulan.

Langkah pemberian vaksin berskala besar bukannya perkara baharu – ia sudah lama dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu bagi mencegah jangkitan seperti selesema dan demam campak.

Bagaimanapun, inisiatif terbaharu itu bakal menghadapi pelbagai cabaran membabitkan tiga aspek utama iaitu tempoh singkat bagi memberikan vaksinasi itu kepada jumlah orang yang ramai, memandangkan setiap vaksin membabitkan dua dos.

Selain itu, vaksin itu perlu disimpan di tempat dengan suhu yang amat rendah.

Vaksin dibangunkan gergasi farmasuetikal AS, Pfizer dan BioNTech dari Jerman kini dilihat bakal menjadi vaksin pertama yang diiktiraf untuk penggunaan di AS, perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celcius, berbanding vaksin selesema yang boleh disimpan dalam peti ais biasa.

Vaksin keluaran Pfizer yang diedarkan di AS akan dikeluarkan dari kilangnya di Kalamazoo, Michigan. Proses pengedarannya akan membabitkan kontena, trak dan pesawat yang beroperasi 24 jam.

Setiap kontena berkenaan akan diisi dengan ais kering dan 975 bekas vaksin dengan setiap satunya mempunyai lima dos, dengan jumlah keseluruhan 4,875 dos.

Setiap enam hari, trak akan menghantar dos berkenaan ke pengangkutan udara seperti FedEx, UPS atau DHL, yang kemudian akan menghantarnya ke seluruh AS, dalam tempoh dua hari, atau tiga hari untuk ke luar negara, kata Pfizer kepada AFP.

Syarikat itu menjangka secara purata 20 pesawat kargo beroperasi untuk tujuan itu, setiap hari ke seluruh dunia.

FedEx perlu mendapat kebenaran khas dari pihak berkuasa penerbangan untuk menghantar kargo yang mempunyai ais kering yang banyak kerana ia mungkin memberikan risiko keselamatan terhadap kru kapal.

Sebaik kotak yang membawa dos vaksin itu tiba di destinasi, ia hanya boleh dibuka sebanyak dua kali untuk tempoh hanya sangat singkat, dua kali sehari.

Sehubungan itu, pakar berpendapat vaksin itu tidak sesuai untuk diedarkan di farmasi atau klinik kecil.

Sebaliknya, orang ramai perlu mendapatkannya di hospital atau pusat pengedaran berskala besar seperti lapangan ujian saringan Covid-19 ketika ini.

Vaksin itu boleh disimpan di dalam bekasnya sehingga dua minggu, jadi hospital tidak memerlukan penyejuk khas.

Bagaimanapun, di AS, vaksin itu akan diedarkan secara percuma kepada penduduknya.

Dalam pada itu, sebuah syarikat farmasuetika AS, Moderna juga dalam proses mengeluarkan vaksin yang boleh disimpan di dalam peti ais biasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19