Covid-19: Dihukum bersihkan sungai tak pakai pelitup muka

Jakarta: Pihak berkuasa bandar Solo di Indonesia menghukum individu yang ingkar pemakaian pelitup muka bagi mencegah Covid-19 dengan membersihkan sungai di sekitar bandar itu.

Portal Detik News melaporkan, di bandar itu pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada penduduk, termasuk ketika bersendirian dalam kenderaan.

Dalam satu operasi penguatkuasaan pelitup muka di Stesen Balapan Solo, beberapa pemandu kereta ditahan termasuk seorang wanita yang mengenakan pelitup muka tetapi tidak menutup hidung dan mulut secara sempurna.

Akibatnya, wanita itu dan pesalah lain didenda turun ke Sungai Pepe kawasan Kestalan, Banjarsari, Solo untuk membersihkan sungai itu yang airnya berwarna hitam.

Wanita itu mengenakan but bagi melindungi kakinya dan memakai sarung tangan beberapa lapis.

Ketika terjun ke sungai, wanita itu kemudian naik semula ke atas dan enggan membersihkan sungai itu.

“Saya memilih untuk didenda saja,” kata wanita itu.

Bagaimanapun, pegawai bertugas menjelaskan kepadanya hukuman bagi pesalah hanya satu iaitu membersihkan sungai dan dilakukan untuk memberikan pengajaran.

“Tidak ada hukuman lain kerana ini untuk memberikan pengajaran,” kata pegawai berkenaan dikenali sebagai Ragil.

Wanita berkenaan akhirnya bersedia membersihkan sungai dalam tempoh 15 minit.

Selepas itu, semua pesalah diminta membuat surat aku janji untuk tidak mengulangi kesalahan mereka.

Ketua Polis Perbandaran Solo, Arif Darmawan berkata, hukuman itu berdasarkan Instruksi Presiden (Inpres) No 6 Tahun 2020 dalam Peraturan Walikota (Perwali) No 24 Tahun 2020.

“Hukumannya jelas, dalam Inpres tertulis pelitup muka wajib dipakai sebaik mereka keluar rumah.

“Jadi tidak peduli naik motosikal, kereta, jalan kaki, atau apa saja,” kata Arif ketika dihubungi detikcom.

Sementara itu, Ketua Pelaksanaan Pencegahan Covid-19 Solo, Ahyani berkata, pihaknya akan terus menetapkan undang-undang itu.

“Syaratnya sama, kalau dibuat pemandu tidak perlu memakai pelitup muka nanti penumpang pula protes. Jadi adilnya seperti itu,” kata Ahyani.

“Bagi saya, kita sama-sama toleransi. Semua harus pakai pelitup muka sebaik keluar rumah. Ini demi kebaikan bersama supaya menghentikan penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19