Covid-19: Dua lagi rakyat Malaysia positif di Singapura

Singapura: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa dua daripada tiga kes dalam komuniti yang diumumkan terdahulu semalam, adalah rakyat Malaysia.

Menurutnya seorang daripada mereka adalah lelaki berusia 23 tahun yang dikenal pasti sebagai kontak kes yang disahkan sebelum ini, dan sudah dikuarantin.

“Dia diuji semasa menjalani kuarantin bagi menentukan statusnya walaupun tiada gejala penyakit dikesan (asymptomatic),” menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini.

Seorang lagi adalah wanita rakyat Malaysia berusia 31 tahun, dan setakat ini, tiada kaitan dengan kes berkenaan.

Menurut kementerian itu, kes berkenaan dikesan semasa pelaksanaan ujian komuniti yang ditingkatkan, khusus bagi menguji semua individu berumur 13 tahun dan ke atas yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut (ARI) semasa diperiksa kali pertama oleh doktor.

Kedua-dua kes itu menjadikan rakyat Malaysia yang dijangkiti di negara republik berkenaan minggu ini, kini berjumlah lima, dan kesemua mereka adalah pemegang pas kerja.

Singapura terdahulu dalam laporan awal semalam mengesahkan tambahan 23 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sebelumnya , menjadikan jumlah kes keseluruhan ini adalah 57,765.

Daripada 23 kes itu, empat adalah kes import, manakala 16 membabitkan pekerja migran yang menghuni asrama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19