Covid-19: Gabenor saman Datuk Bandar

WASHINGTON: Gabenor Georgia, Brian Kemp menyaman Datuk Bandar Atlanta, Keisha Lance Bottoms, bagi menghalang peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Saman itu difailkan ahli politik dari parti Republikan itu atas alasan bahawa Bottoms tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang kesihatan yang lebih ketat berbanding negeri.

Di peringkat negeri, pemakaian pelitup muka digalakkan, tetapi bukan satu kewajipan.

“Bandar Atlanta hanya boleh menguatkuasakan undang-undang negeri, tetapi Datuk Bandar mahu menguatkuasakan undang-undang melebihi kuasa negeri,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan menggalakkan pemakaian pelitup muka sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Kajian menunjukkan pelitup muka, yang hanya diperbuat kain, boleh mengurangkan penyebaran partikel air liur antara 50 dan 100 peratus.

Negeri lain seperti Alabama, California, Texas dan Colorado sudah mewajibkan pemakaian pelitup muka bertujuan mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sendiri enggan untuk mengikuti langkah berkenaan.

Beliau hanya dilihat mengenakan pelitup muka buat pertama kali pada minggu lalu.

Setakat ini, AS kekal menjadi negara paling terjejas akibat Covid-19 dengan 3.6 juta kes dan lebih 141,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19