Covid-19: Hanya kerana dandan rambut
Kansas City: Seorang pendandan rambut di Missouri, Amerika Syarikat (AS) didapati berpotensi menyebarkan Covid-19 kepada lebih daripada 90 pelanggan dan rakan sekerjanya.
The Independent melaporkan, ia selepas individu berkenaan yang tidak menyedari positif virus itu kembali bekerja selepas pihak berkuasa membenarkan perniagaan beroperasi semula di negara itu.
Susulan itu, pegawai kesihatan di Springfield dalam satu kenyataan mengeluarkan amaran dan peringatan kepada mereka yang mengunjungi salon Great Clips antara 12 Mei hingga Rabu lalu.
Kenyataan sama mengesahkan pendandan rambut yang tidak didedahkan namanya itu positif Covid-19 dan dipercayai terkena jangkitan sewaktu melancong.
“Dia sudah bertemu dan memberi perkhidmatan kepada 84 individu. Bagaimanapun, individu terbabit dan pelanggannya memakai pelitup muka.
“Susulan itu, semua pelanggan berkenaan dan rakan sekerjanya diminta untuk menjalankan ujian saringan,” katanya.