Covid-19: Hong Kong laksana saringan besar-besaran

Hong Kong: Hong Kong mula melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran, hari ini, bawah skim kesihatan yang menjadi tumpuan perbahasan politik yang hangat.

Ujian saringan secara sukarela itu ialah antara usaha menangani gelombang ketiga wabak yang bermula akhir Jun lalu sehingga bandar berpenduduk padat ini terpaksa menguatkuasakan semula langkah penjarakan sosial.

Bagaimanapun, program itu menerima maklum balas terhad berikutan pembabitan firma ujian dan doktor dari China, serta kebimbangan awam terhadap pengambilan data serta DNA susulan langkah Beijing mengekang gerakan demokrasi di bandar ini.

Sejak pendaftaran dibuka bermula Sabtu lalu, seramai 510,000 individu mendaftar untuk menjalani ujian saringan secara percuma itu iaitu kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan 7.5 juta populasi Hong Kong.

Untuk rekod, lebih separuh daripada keseluruhan 141 pusat ujian komuniti di seluruh bandar ini mencatatkan temu janji penuh pada hari pertama.

Namun, pakar kesihatan memaklumkan bahawa seramai lima juta penduduk mungkin perlu disaring melalui skim itu bagi mengesan secara komprehensif jangkitan tersembunyi, sekali gus menghentikan gelombang penularan ketika ini.

Hong Kong merekodkan lebih 4,800 jangkitan selepas dilanda virus itu pada akhir Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19