Covid-19: Jakarta kembali dikenakan ‘partial lockdown’

Jakarta: Indonesia kembali menguatkuasakan sekatan pergerakan separa (partial lockdown) dikenali sebagai Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Jakarta selama dua minggu mulai hari ini.

Bagaimanapun, lebih banyak kelonggaran diberikan berbanding ketika kali pertama sekatan itu dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Bernama melaporkan perintah itu berikutan berikutan kes positif Covid-19 yang meningkat semakin mendadak di provinsi itu.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam sidang media menerusi laman Youtube rasmi pemerintah Jakarta semalam berkata, secara prinsipnya PSBB itu mewajibkan warga Jakarta kembali melakukan banyak kegiatan harian di rumah, termasuk bekerja, belajar dan beribadat.

PSBB dikuatkuasakan di provinsi Jakarta buat pertama kali pada 31 Mac lalu, namun pemerintah Jakarta membenarkan kembali beberapa aktiviti sosio-ekonomi menerusi fasa transisi PSBB bermula 5 Jun lalu, setelah kes virus itu berkurangan.

Namun sejak akhir Ogos, kes positif baharu di provinsi Jakarta berterusan meningkat pada kadar purata hampir 1,000 kes setiap hari.

Antara peraturan PSBB itu adalah hanya 11 sektor yang dibenarkan pekerjanya berada di pejabat, antaranya sektor kesihatan, perbankan, komunikasi dan makanan.

Orang ramai dilarang berkumpul melebihi lima orang, dan mereka yang tidak memakai pelitup mulut, hidung, di luar rumah akan dikenakan denda 250,000 Rupiah (RM75), manakala rumah ibadat serta pusat rekreasi dan pelancongan kembali ditutup, pegehadan penggunaan pengangkutan awam serta larangan makan di restoran, iaitu hanya dibenarkan pembelian untuk dibawa pulang.

Mengikut perangkaan, kes positif virus itu di Jakarta meningkat mendadak, dan berdasarkan data, pada 31 Ogos lalu kes positif keseluruhan dicatatkan 39,280 dan kes positif keseluruhan pada semalam meningkat kepada 54,220.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenan Covid-19, www.covid19.go.id semalam, sebanyak 3,636 kes positif baharu dicatatkan di seluruh Indonesia, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 218,382 kes.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif tertinggi (54,220) dengan tambahan 1,380 kes positif baharu, serta jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,391 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari kelmarin sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 73 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 8,723 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19