Covid-19: Jangkitan meningkat kepada 1.2 juta

Beijing: Dunia kini berdepan ancaman Covid-19, penyakit yang sebelum ini tidak diketahui puncanya, tetapi sudah merebak ke lebih 200 negara dan rantau.

Di Washington, agensi berita Xinhua melaporkan, jumlah kes Covid-19 sudah melebihi 1.2 juta, berdasarkan data dikumpul Johns Hopkins University pada Sabtu.

Di Tokyo, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Jepun pada Ahad berkata, kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara sehingga jam 10.30 pagi (waktu tempatan) sebanyak 3,506 kes.

Jumlah kematian akibat virus maut itu setakat ini kekal 96 orang, menurut kementerian yang turut memasukkan data kes di atas kapal persiaran Diamond Princess, kini dikuarantin di Yokohama, dekat Tokyo.

Di Wuhan, sebuah lagi daerah di bandar yang terjejas teruk akibat Covid-19, kini diisytiharkan sebagai kawasan berisiko rendah, menurut ibu pejabat pusat kawalan dan pencegahan wabak wilayah.

Ini menjadikan jumlah kawasan berisiko rendah di Wuhan kepada sembilan daripada 13 daerah.

Empat daerah lain diklasifikasikan sebagai berisiko sederhana, menurut ibu pejabat itu.

Di Beijing, pihak berkuasa kesihatan China pada Ahad berkata, ia menerima laporan 30 kes baharu COVID-19 di tanah besar China dengan 25 daripadanya kes import.

Di Brussels, Sepanyol mengesahkan 124,736 kes pada Sabtu mengatasi Itali yang merekodkan 124,632 kes.

Sepanyol negara yang mencatatkan kes paling banyak di Eropah dan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika kini mempunyai lebih 300,000 kes positif.

Di Rom pula, wabak Covid-19 sudah mengorbankan lebih 15,000 orang di Itali yang kini menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya, menurut data Jabatan Pertahanan Awam negara itu.

Pada sidang akhbar, Ketua Jabatan Pertahanan Awam, Angelo Borrelli mengesahkan 2,886 kes aktif baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan kes sebanyak 88,274.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19