Covid-19: Kes baharu di Thailand kekal satu digit?

BANGKOK: Thailand yang membuka semula enam jenis perniagaan dan tempat hari ini selepas mencatatkan tiga kes baharu Covid-19 dan kematian sifar dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kes baharu kekal pada satu digit selama seminggu.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 2,969 kes Covid-19 dan 54 kematian serta 2,739 kes pulih dan discaj dari hospital.

Gabenor Yala, Chaiyasit Panitpong bagaimanapun berkata, 40 kes baharu Covid-19 dikesan di empat daerah di Yala – Bannang Sata, Jaha, Raman dan Mueng Yala (lokasi fasiliti kuarantin ditempatkan) berikutan penemuan kes aktif.

“Daripada 311 individu yang menjalani ujian calitan tekak, seramai 40 individu didapati positif Covid-19. Sejumlah besar pesakit mempunyai sejarah perjalanan dari Malaysia dan Bangkok baru-baru ini,” katanya.

Jumlah yang direkodkan hari ini tidak termasuk 40 kes baharu di Yala.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 40 kes positif itu akan menjalani satu lagi ujian makmal hari ini bagi memastikan ketepatan ujian.

“Kami tidak menyembunyikan maklumat tetapi kami ingin mendapatkan keputusan ujian yang tepat,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Mulai hari ini, enam jenis perniagaan dan tempat di Thailand dibuka semula serta penjualan alkohol juga dibenarkan.

Enam jenis perniagaan dan tempat di seluruh negara akan dibuka semula termasuk pasar, tempat makan di luar pusat beli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan fasiliti sukan luar (bukan untuk sukan berpasukan), kedai gunting dan salun rambut (terhad kepada memotong, mencuci dan mengering) serta dandanan dan hotel haiwan peliharaan.

Kerajaan Thailand akan memantau dan menilai situasi bagi setiap 14 hari dan akan mengenakan semula larangan jika jumlah kes meningkat.

Tinjauan di Bangkok mendapati perniagaan dan beberapa tempat telah beroperasi semula dengan langkah yang ketat bagi mengelak gelombang kedua wabak Covid-19.

Suhu badan akan diambil sebelum pelanggan memasuki restoran dan tempat makan, meja dijarakkan antara 1 hingga 1.5 meter serta penghadang dipasang di kaunter bayaran. Selain itu, pengambilan alkohol tidak dibenarkan di premis.

Untuk kedai gunting rambut dan salun, pelanggan diminta membuat janji temu terlebih dahulu dan pekerja mesti memakai penutup hidung dan mulut. Selain itu, peralatan mesti dibersihkan selepas setiap kali digunakan dan perkhidmatan akan dihentikan sekurang-kurangnya 20 minit untuk pembersihan bagi setiap dua jam.

Selain itu, pengunjung mesti menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke taman.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19