Covid-19: Kes misteri di Auckland

Auckland: Bandar ini akan kembali dikenakan ‘lockdown’ selepas empat kes penularan tempatan Covid-19, pada Selasa.

Ia selepas tiada penularan tempatan selama 102 hari di negara itu.

Bagaimanapun, setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengetahui punca jangkitan kes terbaharu itu yang membabitkan empat individu daripada satu keluarga.

Ia memandangkan negara itu masih menutup pintu sempadannya dan rakyatnya yang pulang dari luar negara diwajibkan menjalani pengasingan mandatori.

Bandar terbesar di New Zealand itu dikenakan amaran Tahap Tiga pada Rabu selama tiga hari.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata, kes berkenaan membabitkan sekeluarga yang tinggal di Auckland Selatan dan tidak mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa.

Ardern berkata, kes itu tidak berkaitan dengan pelancong asing atau orang yang bekerja di sempadan dan menyeru rakyat untuk senantiasa “berjaga-jaga.”

“Tempoh tiga hari itu akan memberi kita masa untuk menilai keadaan, mengumpulkan maklumat, mengesan kontak,” katanya seperti dalam laporan Bernama yang memetik agensi berita Xinhua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19