Covid-19: Lebih 100,000 maut di Brazil

RIO DE JANEIRO: Jumlah kematian akibat Covid-19 di Brazil sudah melepasi 100,00 kes.

Kementerian Kesihatan Brazil pada Sabtu mengesahkan bahawa terdapat 100,477 kematian dan 3,012,412 kes positif menjadikan ia sebagai negara kedua teruk terjejas akibat Covid-19.

Dalam tempoh 24 jam, terdapat 905 kematian dengan 49,970 kes baharu terhadap negara yang mempunyai 212 juta orang dan penduduk terpadat di Amerika Latin.

Bagaimanapun jumlah sebenar mungkin melebihi angka rasmi itu dan pakar menjangkakan ia akan meningkat enam kali ganda berikutan kekurangan ujian saringan.

Brazil menyaksikan 478 kematian per juta orang, angka yang setara dengan Amerika Syarikat (487), tetapi lebih rendah dari Sepanyol (609) atau Itali (583).

Speaker Senat Davi Alcolumbre mengumumkan berkabung selama empat hari di kongres bagi memberi penghormatan kepada 100,000 mangsa virus di negara itu.

Kes di negara itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berkurangan selepas enam bulan dilanda wabak itu.

Kes Covid-19 yang pertama di negara itu adalah di Sao Paulo pada 26 Februari, dengan kematian pertama pada 12 Mac lalu.