Covid-19: Lockdown di sebahagian ibu negeri Rakhine

YANGON: Myanmar menguatkuasakan sekatan pergerakan (lockdown) di sebahagian kawasan di ibu negeri Rakhine, Sittwe, Khamis lalu

Ia selepas enam kes jangkitan tempatan Covid-19, termasuk seorang doktor pakar di hospital utama negeri itu, dilaporkan minggu lalu.

Sebelum ini, Mynmanr tidak merekodkan sebarang kes penularan tempatan selama 30 hari.

The Irrawaddy melaporkan, kes pertama dicatatkan di Sittwe pada Ahad lalu, diikuti tiga kes pada Rabu dan dua lagi dilaporkan pada pagi Khamis.

Sekatan pergerakan dikenakan di beberapa kawasan penempatan di Kone Tan, Myothagyi, Danyawaddy dan Ywartaunggyi.

Ia adalah lokasi tempat tinggal individu yang dijangkiti virus berkenaan.

“Pihak berkuasa Rakhine memutuskan untuk menutup jalan di mana lokasi tempat tinggal individu yang dijangkiti.

“Kami akan memberitahu orang ramai mengenai penularan kes itu, dan menyuruh mereka memakai pelitup muka ketika keluar.

“Mereka yang didapati keluar tanpa memakai pelitup muka akan didenda,” kata Menteri Hal Ehwal Perbandaran Rakhine, U Win Myint.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Rakhine, mereka yang berhubung atau mempunyai kontak rapat dengan kes sedang menjalani kuarantin di rumah atau pusat kuarantin ditetapkan kerajaan.

Salah satu kes yang dikesan pada Khamis direkodkan sebagai kes ke-395 di negara ini, adalah seorang doktor berusia 40 tahun dari Hospital Umum Sittwe yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai bank di Sittwe.

Sementara itu, Myanmar National Airlines menangguhkan semua penerbangan antara Sittwe dan Yangon selama dua minggu.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan lain masih beroperasi.

Pengangkutan darat masih dibenarkan beroperasi tetapi orang ramai perlu menjalani saringan kesihatan di checkpoint ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19