Covid-19 mula dikesan di kem pelarian Rohingya

Cox’s Bazar, Bangladesh: Dua individu etnik Rohingya menjadi antara yang pertama dikesan positif Covid-19 di kem pelarian di sini.

Pakar kesihatan sebelum ini memberi amaran bahawa virus berkenaan berkemungkinan besar boleh menular di kem yang sesak dan kurang bersih itu.

Koordinator kesihatan, Abu Toha Bhuiyan berkata, kedua-dua individu berkenaan sudah diletakkan dalam pengasingan dan pihak berkuasa kini mula menjalankan saringan secara menyeluruh.

Awal April lalu, pihak berkuasa mengenakan sekatan penuh di daerah ini selepas mengesan beberapa kes positif selain mengawal trafik keluar dan masuk ke kem pelarian itu.

Kumpulan aktivis sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa kem berkenaan berisiko menjadi ‘lubuk virus’ selepas pelarian di sana tidak mendapat maklumat tepat mengenai pandemik Covid-19 berikutan larangan penggunaan Internet sejak September tahun lalu.

Kes positif Covid-10 yang pertama di Bangladesh dikesan awal Mac lalu dan sehingga kini mengorbankan sekurang-kurangnya 283 nyawa dengan 19,000 kes positif.