Covid-19: New Zealand 100 hari tanpa jangkitan

Wellington: New Zealand mencatat 100 hari tanpa jangkitan baharu kes Covid-19 pada Ahad.

Namun, pegawai kesihatannya memberi amaran supaya tidak segera berpuas hati dengan keadaan itu.

Sehingga kini terdapat 23 kes yang masih aktif bagaimanapun ia dikesan di sempadan sebelum memasuki negara dan sudah dikuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, New Zealand, Ashley Bloomfield berkata mencapai 100 hari tanpa jangkitan adalah kejayaan.

“Namun seperti mana yang semua ketahui, kita tidak boleh cepat berpuas hati.

“Kita sudah lihat bagaimana pantasnya virus ini muncul kembali dan merebak ke kawasan yang sebelum ini sudah berjaya dikawal, oleh itu kita perlu sentiasa bersedia jika ia kembali semula,” katanya.

Mempunyai populasi lima juta penduduk, New Zealand menerima pujian ramai kerana keberkesanannya menangani Covid-19 sejak menutup sempadannya bermula 19 Mac lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji negara itu sebagai contoh kepada orang lain kerana berjaya menghilangkan penularan jangkitan dalam masyarakat.

Sejak mula dikesan pada Februari lalu, terdapat 1,219 kes Covid-19 dikesan dengan jangkitan terakhir pada 1 Mei lalu.

Kini, penduduk New Zealand boleh menikmati kehidupan hampir normal semula namun sempadan negara masih ditutup dan ketibaan dari luar negara perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Kerajaannya tetap bersiap sedia kemungkinan gelombang kedua dan meminta penduduk untuk menyediakan bekalan kecemasan termasuk pelitup muka.