Covid-19: Perintah berkurung di Bogor

JAKARTA: Kota Bogor di Jawa Timur melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam susulan peningkatan kes Covid-19.

Menerusi perintah itu, kompleks beli-belah akan ditutup pada jam 6 petang dan orang ramai dilarang daripada mengadakan aktiviti luar selepas jam 9 malam.

Gabenor Bogor Bima Arya pada Jumaat berkata, pasukan keselamatan akan memantau pelaksanaan perintah berkurung itu.

Beliau berkata, ia bagi memastikan penduduk sedar terhadap ancaman penularan wabak berkenaan.

“Kita mahu orang ramai sedar bahawa keadaan ini adalah membimbangkan,” katanya seperti dilaporkan portal Kompas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang melanggar perintah berkurung itu akan dikenakan hukuman termasuk denda.

Sementara itu, berdasarkan laman sesawang Task Force Kebangsaan Covid-19, www.covid19.co.id, Bogor diisytiharkan sebagai zon merah pada Khamis.

Ini bermakna terdapat peningkatan jumlah kes baharu di bandar berkenaan.

Pada Sabtu, pihak berkuasa mengesahkan terdapat 21 kes positif Covid-19 di Bogor yang menyumbang kepada 574 kes keseluruhan di bandar itu.

Daripada jumlah itu, 29 orang meninggal dunia, manakala 334 lagi sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19