Covid-19: Pertemuan keluarga antara punca jangkitan

Dubai: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendedahkan 30 peratus jangkitan penularan tempatan Covid-19 di negara itu berpunca daripada pertemuan keluarga.

Menteri Kesihatannya, Abdul Rahman Mohammed Al Oweis berkata, sebanyak 239 kes baharu direkodkan Khamis lalu dengan satu kematian dan 354 kes pulih.

“Saya ingin bersama anda hari ini kerana kita melihat peningkatan 30 peratus jangkitan antara penduduk tempatan akibat pertemuan keluarga.

“Kami menghormati tradisi dan adat kita, tolonglah semua warga UAE beringat kejayaan kita adalah apabila kita dapat melindungi diri dan keluarga,” katanya.

Katanya, dia mendesak orang ramai untuk mematuhi peraturan ditetapkan.

“Indikator positif yang ditunjukkan sebelum ini tidak bermaksud cabaran sudah berakhir dan pengalaman kami serta pengalaman negara lain adalah patuh kepada prosedur.

“Walaupun peratusan kes masih kecil namun akibatnya mungkin sukar dibendung,” katanya.

Katanya, dia memahami setiap adat dan tradisi negara itu tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan penyebab kes makin meningkat di negara itu.

“Kita tidak boleh membiarkan hubungan sosial yang menjadi kekuatan dan penyatuan menjadi ancaman bagi kehidupan kita dan orang yang disayangi,” katanya.