Covid-19: Punca bukannya ikan salmon

Oslo: Norway dan China mencapai kata sepakat, ikan salmon diimport dari Oslo kemungkinan bukan punca penularan Covid-19 di Beijing sejak minggu lalu.

“Ia bukan berasal daripada ikan diimport dari Norway. Keputusan itu diharap dapat memperjelaskan ketidakpastian dan menarik balik langkah menggantung eksport ikan salmon ke China,” kata Menteri Perikanan Norway, Odd Emil Ingebrigtsen.

Sumber protein dari Norway itu dikaji di China selepas muncul kes baharu Covid-19 yang ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong salmon yang diimport.

Ia ditemui pada papan pemotong di pasar borong Xinfadi, di Beijing hingga mencetuskan gelombang kedua wabak itu di ibu negara China itu, sejak minggu lalu.

“Masalahnya sedang diselesaikan. Kami sedang menyelesaikan perinciannya hari ini, ” katanya seperti dilaporkan AFP

Ingebrigtsen berkata, pegawai China dan Norway bertemu pada Selasa lalu dan membuat kesimpulan salmon Norway tidak mungkin menjadi sumber virus yang dikesan minggu lalu di pasar itu.

Sekurang-kurangnya 137 orang dijangkiti pandemik itu sejak minggu lalu di ibu kota China, kemunculan semula jangkitan yang menyebabkan penutupan beberapa kawasan dan pembatalan lebih dari 1,000 penerbangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19