Covid-19: Sekolah di Hong Kong diarah tutup

Hong Kong: Hong Kong menutup semula semua sekolah selepas wilayah itu melaporkan peningkatan kes baharu jangkitan tempatan Covid-19.

Kerajaan memerintahkan semua sekolah ditutup mulai Isnin menjelang permulaan cuti musim panas, kata Menteri Pendidikan Kevin Yeung.

Wilayah itu mencatatkan 34 kes baharu Covid-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Ia sekali gus kes harian tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan.

“Pihak berkuasa mengambil langkah untuk kebaikan masyarakat umum dan kesihatan pelajar,” kata Yeung.

Mereka yang dijadualkan mengambil peperiksaan masih boleh melakukannya tetapi perlu memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial.

Sekolah menengah awam Hong Kong ditutup pada Januari lalu.

Ia dibuka secara berperingkat bermula Mei selepas wilayah itu berjaya membendung jangkitan baharu.

Tetapi muncul beberapa kluster jangkitan baharu dalam dua hari lalu. Ia termasuk di rumah jagaan warga tua yang melaporkan sekurang-kurangnya 32 kes.

Pada masa sama, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan punca jangkitan kepada 12 kes jangkitan, sejak lima hari lalu.

Khamis lalu, bilangan individu di restoran, bar, pusat hiburan juga dihadkan bagi mengekang penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19