Covid-19: Singapura catat 226 kes baharu

Singapura: Singapura mencatatkan 226 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan satu kes dalam komuniti membabitkan seorang banduan.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas 12 tengah hari yang dikeluarkan di sini, berkata banduan itu pemegang pas jangka pendek, yang tiba di Singapura sebelum langkah kawalan sempadan bermula.

MOH berkata bantuan itu diasingkan daripada banduan lain sejak dimasukkan ke Kompleks Penjara Changi pada 30 Julai.

Menurut kementerian, banduan itu disaring sebagai sebahagian daripada saringan proaktif Perkhidmatan Penjara Singapura ke atas banduan yang baharu dimasukkan ke dalam penjara.

Sementara itu terdapat sembilan kes import dan kesemuanya diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di Singapura, dan baki kes hari ini masih lagi pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dengan kes baharu ini jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 53,051 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 709 sebagai kes import, 2,181 kes komuniti dan 49,935 penghuni asrama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19