Covid-19: Singapura catat 40 kes baharu

Singapura: Singapura dalam laporan awalnya mengesahkan tambahan 40 kes baru jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu di republik tersebut kepada 56,948.

“Mengikut siasatan kami sehingga kini, tidak ada kes dalam komuniti,” menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu data ringkas, yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu menyatakan, terdapat tiga kes import dan kesemuanya diberikan Notis Tinggal di Rumah, sebaik tiba di Singapura.

Dalam data penuh kes baru yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 918 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,222 kes komuniti dan 53,768 membabitkan penghuni asrama pekerja asing.

Sejumlah 56,028 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj dari hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Sementara itu, 52 kes yang disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sejumlah 801 pesakit yang bergejala ringan, atau secara klinikalnya sihat namun masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang sudah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Dua kluster baru dikenal pasti semalam iaitu di Cochrane Lodge II, 49 Admiralty Road West; dan Westlite Toh Guan dormitory, 18 Toh Guan Road East.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19