Covid-19: Singapura tiada kes import baharu

SINGAPURA mengesahkan 657 kes baharu Covid-19 semalam, dengan satu lagi kematian yang membabitkan warga emas, menjadikan jumlah kematian 18 orang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan wanita warga Singapura berusia 86 tahun itu meninggal dunia pada 3 Mei di Hospital Khoo Teck Puat.

Dilabelkan sebagai kes ke-14,744, wanita itu yang disahkan dijangkiti Covid-19 pada 27 April, mempunyai latar belakang penyakit diabetes, hipertensi dan hiperlipidemia.

Singapura melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 pada 21 Mac.

Sementara itu, kementerian memaklumkan punca kematian kes ke-17,410, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 47 tahun, yang meninggal dunia pada 1 Mei, adalah disebabkan penyakit jantung iskemik.

Daripada 657 kes baharu yang direkodkan pada Ahad, tiada kes diimport, 13 kes dalam fasiliti komuniti, 18 pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama, sementara 626 pemegang permit kerja yang tinggal di asrama.