Covid-19: Thailand bayar separuh gaji siswazah

Bangkok: Kabinet Thailand meluluskan pelan untuk mewujudkan 260,000 pekerjaan untuk siswazah baharu, langkah terkini bertujuan mengatasi kesan ekonomi yang dicetuskan wabak Covid-19.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha pada Selasa berkata, sektor swasta akan mengambil lulusan baharu dari universiti dan sekolah vokasional, selama setahun.

Ia sebahagian pelan untuk mewujudkan sejuta pekerjaan, katanya.

“Ekspo pekerjaan akan diadakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan mulai bulan depan, selama setahun kerajaan akan membayar 50 peratus gaji untuk siswazah baharu.

Gaji ditetapkan pada 15,000 baht (RM1,982) untuk lulusan universiti, 11,500 baht (RM1,519) untuk lulusan sijil vokasional lanjutan dan 9,400 baht (RM1,242) untuk sijil vokasional standard.

“Langkah itu akan menelan kos sekitar 23.5 bilion baht (RM 3.05 juta),” kata laporan itu.

Minggu lalu, Thailand mengumumkan rancangan rangsangan ekonomi menggabungkan 68.5 bilion baht (RM 9.05 bilion) termasuk 45 bilion baht (RM 5.95 bilion) untuk pembayaran tunai dan 23.5 bilion baht (RM 3.10 bilion) bagi mewujudkan pekerjaan.

Namun, Prayuth mengatakan kabinet belum membincangkan mengenai pemberian tunai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19