Covid-19 ‘tiba’ di Kepulauan Solomon

Sydney: Kepulauan Solomon akhirnya mencatatkan kes Covid-19 pertama mereka iaitu pelajar lelaki yang pulang dari Filipina.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare mengumumkan bahawa negara itu kini sudah mempunyai kes jangkitan virus yang sedang melanda seluruh dunia.

Sementara itu, portal berita RNZ melaporkan bahawa pelajar itu dikesan positif Covid-19 sebaik tiba di negara walaupun tiga ujian saringan yang dilakukan sebelum berlepas adalah negatif.

Lelaki itu yang tidak bergejala kini dikuarantin bersama dua kontak rapat.

Kakitangan barisan hadapan juga diperiksa.

Ketika membuat pengumuman itu, Sogavare berkata semua persediaan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak lapan bulan lalu kini diaktifkan.

“Perancangan, persiapan, simulasi dan latihan yang diadakan sebelum ini tidak sia-sia dan kerajaan yakin akan kemampuannya untuk bertindak balas, menahan dan mengurus situasi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai terjaga,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada perintah sekatan dikenakan kerana beliau percaya dengan sistem yang sudah dibentuk sebelum ini dan petugas kesihatan serta petugas barisan hadapan.

Pelajar itu adalah salah seorang daripada 400 warganya yang terkandas di Filipina selepas sempadan ditutup.

Kepulauan Solomon menjadualkan tiga penerbangan untuk membawa mereka pulang, yang terakhir adalah hujung bulan ini.

Sogavare berkata pihaknya sedar akan risiko membawa mereka pulang dari Filipina.

“Bagaimanapun kami juga sedar jika kami membiarkan anak-anak kami di Filipina akan mendedahkan mereka kepada risiko lebih tinggi.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami tidak boleh menutup mata kepada rintihan mereka. Membawa mereka pulang adalah sesuatu yang pelru dilakukan,” katanya.

Kira-kira 18 pelajar dari negara itu dijangkiti virus itu ketika menunggu penerbangan pulang di Filipina dan mereka perlu diuji bebas sebanyak tiga kali sebelum dibenarkan terbang pulang.