Dana AS$12 bilion bantu negara miskin beli vaksin Covid-19

Washington: Bank Dunia meminta Lembaga Pengarahnya meluluskan dana sebanyak AS$12 bilion (RM49.90 bilion) untuk membantu negara miskin membeli dan mengagihkan vaksin untuk menangani Covid-19.

Bank itu sudah melaksanakan program tindak balas kecemasan di 111 negara dan jika tambahan dana diluluskan ia akan disasarkan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 adalah penting untuk membolehkan pembukaan dunia semula dengan selamat.

“Ekonomi global tidak akan pulih sepenuhnya sehingga penduduk mampu hidup, bersosial, bekerja dan melancong dengan penuh yakin,” kata jurucakap Bank Dunia.

Dana itu dijangka diagihkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Ketika ini, vaksin Covid-19 belum diperoleh secara komersial, tetapi Presiden Bank Dunia David Malpass memberitahu akhbar Perancis bahawa pengagihan vaksin itu adalah rumit.

“Kami mahu negara miskin mendapat akses vaksin itu, terutama mereka yang berisiko tinggi dan petugas kesihatan,” katanya.

Bank Dunia sudah mengeluarkan bantuan kewangan sebanyak AS$45 bilion (RM187 bilion) antara April dan Jun susulan ekonomi global berdepan cabaran akibat penularan pandemik Covid-19.