Datuk bandar, gabenor NY bercanggah isu penutupan sekolah

New York : Datuk Bandar New York, Bill de Blasio memutuskan sekolah awam di bandar itu akan terus ditutup sehingga hujung tahun berikutan pandemik Covid-19 yang masih menular.

De Blassio memaklumkan perkara itu dalam satu sidang media, semalam.

“Keputusan ini tidak mudah. Ia dibuat demi menyelamatkan nyawa kita semua,” katanya yang membuat keputusan itu selepas merujuk Ketua Saintifik Kerajaan, Anthony Fauci.

Beberapa jam kemudian, Gabenor Andrew Cuomo menegaskan bahawa beliau adalah pihak yang selayaknya dipanggil untuk membuat pengumuman itu.

“Anda tidak boleh membuat keputusan di bandar New York tanpa berhubung dengan seluruh metropolitan kerana kesemuanya perlu bekerjasama,” katanya.

Menurut pakar undang-undang, Datuk Bandar mempunyai kuasa untuk menutup sekolah tetapi keputusan itu boleh ditarik balik oleh Gabenor.

“Arahan itu terpakai sehingga Gabenor melangkaui Datuk Bandar secara bertentangan atau sebaliknya,” kata Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti New York, Roderick Hills.

Jurucakap de Blasio menerusi ciapan di Twitter berkata kedua-dua demokrat itu mempunyai perbezaan dari awal lagi.

“Kami di pihak yang benar. Sekolah akan kekal ditutup,” katanya.

Kesemua sekolah di New York ditutup sejak Mac berikutan penularan Covid-19 dan ia memberi kesan kepada 1.1 juta pelajar.

De Blassio menjangkakan sekolah dibuka semula pada September manakala Coumo mengambil keputusan melanjutkan penutupan sehingga 29 April ini.