Datuk Bandar Tanjungpinang meninggal dunia akibat Covid-19

DATUK Bandar Tanjungpinang, Syahrul meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti Covid-19.

Ketua Perkhidmatan Kesihatan Kepulauan Riau, Tjetjep Yudiana berkata, kesihatan Syahrul semakin teruk ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi Rumah Sakit Umum Raja Ahmad Thabib, Kepri 11 April lalu.

“Kesihatannya semakin menurun dan memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Detik News dalam laporannya memaklumkan, mesin dialisis dicabut selepas buah pinggang Syahrul sudah berfungsi manakala, mesin pernafasan juga tidak dipasang kerana keadaannya semakin baik.

“Fungsi buah pinggangnya baik termasuk pernafasan namun keadaan tiba-tiba bertukar kritikal,” katanya.

Tjetjep berkata, peralatan yang digunakan untuk merawat Syahrul diambil dari Rumah Sakit Awal Bros Batam termasuk pasukan kesihatan.

Katanya, mengikut rancangan asal, Syahrul akan dirawat di sebuah hospital di Jakarta namun keadaanya berisiko untuk dibawa ke sana.

“Bukan saja Syahrul positif Covid-19 malah isteri, cucu dan doktor peribadinya juga dijangkiti,” katanya.

Bagaimanapun, ahli keluarga yang lain disahkan negatif namun, saringan lanjut masih dijalankan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19