Delphine sah puteri Belgium

Brussels: Selepas tujuh tahun berjuang menuntut haknya, seorang pengarca di Belgium akhirnya disahkan sebagai puteri kepada mantan Raja Belgium, Raja Albert II.

Peguam wanita itu, Marc Uyttendaele mengesahkan, Delphine Boel, 52, kini digelar Delphine Saxe-Cobourg.

Ia selepas sebuah mahkamah di sini mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Mahkamah menegaskan Raja Albert II adalah bapa kandungnya.

“Dia akan memegang gelaran Saxe-Cobourg dan permintaannya untuk dilayan seperti adik-beradik lain juga akan ditunaikan,” katanya seperti dipetik Gulf News.

Albert II, adalah bekas Raja Belgium yang memerintah negara itu antara 1993 hingga 2013 sebelum melepaskan takhtanya kepada anak sulungnya, Philippe.

Boel yang juga seorang pengarca dilaporkan menjadi anak tidak sah taraf Albert sejak 1990, namun hanya tahun lalu mahkamah memerintahkannya menyerahkan sampel DNA.

Uyttendaele berkata, anak guamnya berpuas hati dengan keputusan berkenaan selepas melalui prosedur panjang yang menyakitkan dirinya dan keluarganya.

“Kemenangan kehakiman tidak akan dapat menggantikan kasih sayang seorang bapa, namun ia memberikan keadilan yang memberikan kekuatan kepada lebih ramai lagi anak-anak senasib dengannya,” katanya.

Boel menetap bersama ibunya, Baroness Sybille de Selys Longchamps di London sejak usianya lapan tahun dan kerap bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Pada 1999, seorang wartawan mendedahkan kewujudan anak perempuan rahsia Albert, yang lahir dari hubungan sulit selama hampir 20 tahun dengan de Selys Longchamps.

Namun, Albert terus menafikan perkara itu walaupun pernah berhubung dengannya ketika masih kecil.

“Saya terus-terusan diperlakukan sebagai golongan antikerajaan yang kononnya mahu menjatuhkan institusi raja.

“Saya menderita dengan tuduhan tidak benar itu. Saya memang keturunan raja,” katanya.