Demi anak, ibu seludup syabu

Palembang: Cubaan seorang wanita menyeludup sepaket syabu untuk anaknya di penjara tidak berjaya selepas ditahan petugas keselamatan di Lembaga Pemasyarakatan (Lapas) Kelas 1 Palembang, Sumatera Selatan di sini.

Tribun News melaporkan, suspek berusia 54 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan ketika mahu menjenguk anaknya yang sedang menjalani hukuman penjara.

Anaknya dihukum penjara selama enam tahun atas kesalahan terbabit dalam kes dadah.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Pejabat Kementerian Hukum dan HAM Sumatera Selatan, Hamsir berkata, tangkapan itu dibuat selepas petugas keselamatan menemui sepaket syabu diseludup di dalam ubat gigi.

Katanya, penemuan itu susulan pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap barangan dibawa oleh suspek.

“Ketika barangan dan makanan melalui mesin imbasan, petugas keselamatan melihat ada bahan terlarang dibawa bersama.

“Suspek pula kelihatan gelisah dan curiga dengan gerak-gerinya, petugas keselamatan memeriksa semula barangan yang melalui mesin imbasan itu dengan teliti.

“Akhirnya, petugas terbabit menemui ubat gigi yang mengandungi dengan sepaket syabu di dalamnya,” katanya.

Menurut Hamsir, suspek dan anaknya sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Pegawai penyiasat akan memeriksa dan menyoal siasat kedua-duanya bagi mendapatkan maklumat lanjut terutama jumlah cubaan dilakukan untuk menyeludup syabu ke dalam penjara,” katanya.