Demi keluarga…

Manila: Demi kelangsungan hidup, seorang bekas pramugari di Filipina nekad mencari rezeki dengan menjual avokado dan sayur-sayuran selepas diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Business News Philipphine melaporkan, Marielle Enrique atau mesra disapa Em Enrique tidak menafikan sedih selepas diberhentikan kerja, namun dia terpaksa akur dengan keputusan syarikat untuk mengurangkan kakitangan.

Em Enrique berkata, dia pada mulanya mempunyai wang simpanan yang dikumpul sejak bekerja sebagai pramugari lima tahun lalu.

Namun, katanya, wang simpanan yang ada semakin berkurangan hingga habis digunakan bagi membiayai kos rawatan ibunya yang sakit.

Bertitik tolak daripada situ, Em Enrique nekad menjual avokado dan sayur-sayuran secara dalam talian.

“Kesempatan ini saya gunakan untuk berehat daripada dunia penerbangan dan menyibukkan diri.

“Memandangkan permintaan terhadap avokado kini tinggi, saya putuskan untuk menjualnya,” katanya.

Em Enrique berjaya menjual kira-kira 80 hingga 100 kilogram (kg) avokado sehari dalam tempoh dua hari selepas menjalankan perniagaan itu.

Walaupun keuntungan itu jauh lebih rendah berbanding pendapatan bulanannya sebagai pramugari, Em Emrique bersyukur kerana masih berpeluang menyara keperluan keluarganya.