Denda biadap

Beijing: China menguat kuasakan peraturan baharu bagi melarang perlakuan tidak beradab dalam usaha memperbaiki amalan kebersihan dalam kalangan orang awam ketika pandemik Covid-19.

Tingkah laku tidak beradab itu termasuk tidak memakai penutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin.

Peraturan yang diluluskan Jumaat lalu itu untuk mempromosikan tingkah laku lebih beradab bagi memerangi pandemik itu yang menjangkiti 82,000 mangsa di republik berkenaan.

Pemerintah perbandaran tempatan dalam laman webnya memberitahu, mereka yang ingkar serta tidak memakai penutup hidung dan mulut apabila sakit di tempat awam boleh didenda.

Peraturan baharu itu mewajibkan tempat awam meletakkan penanda jarak satu meter dan menyediakan sudu dan penyepit.

Orang awam juga harus berpakaian rapi di tempat awam.

Peraturan baharu itu meletakkan hukuman lebih spesifik apabila denda membuang sampah, meludah dan membuang air di tempat awam dinaikkan kepada maksimum 200 yuan (RM124) berbanding 50 yuan (RM31).

Sementara itu, China merampas lebih 89 juta penutup muka tidak berkualiti selepas berdepan rungutan mengenai penghasilan produk berkenaan yang dieksport ke seluruh dunia.

Permintaan terhadap peralatan perlindungan meningkat mendadak khususnya selepas penularan pandemik Covid-19 yang kini menjangkiti hampir 2.9 juta individu.

Sehingga Jumaat lalu, pengawal selia pasaran eksport China memeriksa lebih 16 juta perniagaan dan merampas 89 juta penutup muka selain 418,000 peralatan perlindungan lain.

Malah, ia juga merampas cecair pembasmi kuman yang tidak berkesan bernilai lebih 7.6 juta yuan (RM4.8 juta).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19