Di mana Kim Jong Un?
MISTERI ketiadaan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di khalayak umum sejak pertengahan bulan ini mula mendapat perhatian Amerika Syarikat (AS).
CNN melaporkan AS dilaporkan sedang mengumpul maklumat mengenai tahap kesihatan pemimpin Korea Utara itu.
Desas-desus mengenai kesihatan Jong Un terus diperkatakan apabila beliau tidak menghadiri sambutan ulang tahun datuknya, Kim II Sung yang juga presiden dan pengasas Korea Utara pada 15 April lalu.
Ia antara detik terpenting dalam kalendar politik negara itu.
Kali terakhir, beliau dilihat hadir pada majlis awam adalah ketika mempengerusikan mesyuarat Parti Politburo, 11 April lalu.
Pada hari berikutnya, media negara itu melaporkan beliau memeriksa jet pejuang di sebuah unit pertahanan udara.
Perkembangan itu meningkatkan dakwaan bahawa tahap kesihatannya merosot selepas menjalani satu pembedahan.
CNN yang memetik sumber pegawai AS berkata, penyakit dihidapi Kim sudah diketahui, namun sejauh mana tahap kesihatannya sukar diramal.
Seorang pegawai pertahanan AS pada Selasa pula berkata, penilaian ketenteraan menunjukkan Jong Un tidak mampu memerintah.
Dalam pada itu, tumpuan media antarabangsa kini beralih kepada dua individu dikatakan bakal menggantikan Jong Un.
Seorang daripadanya, adik Jong Un, Kim Yo Jong, 32, dikatakan akan mengambil alih pemerintahan, jika abangnya benar-benar tidak sihat.
Spekulasi itu diperkuatkan selepas wanita itu dilantik sebagai anggota pengganti Parti Politburo pada 11 April lalu.