Dikebas geng mak nyah

Jakarta: Seorang lelaki di Sumatera, Indonesia kerugian 18 juta rupiah (kira-kira RM5,103) selepas wang miliknya itu dikebas geng mak nyah.

Tribun News melaporkan ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Brawi pergi ke rumah kongsi untuk bertemu dengan seorang mak nyah.

Brawi yang datang bersama sepupunya dilaporkan meletakkan motosikalnya lima meter dari rumah kongsi itu.

Ketika itu, dia turut menyimpan 23 juta Rupiah (kira-kira RM6,521) di dalam ruang simpanan pada motosikal berkenaan.

“Selepas meluangkan masa selama sejam dan melakukan hubungan intim dengan mak nyah di situ, lelaki itu pulang.

“Ketika dalam perjalanan, mangsa berhenti dan memeriksa wang berkenaan dan menyedari hanya ada lima juta Rupiah (RM1,418), manakala bakinya sudah lesap,” kata Ketua Perhubungan Awam Balai Polis Binjai, Siswanto Ginting.

Susulan itu, Brawi tampil membuat laporan di Balai Polis Binjai Timur, kelmarin.

Ketua Polis Binjai Timur, A Pardede kemudian memerintahkan Unit Siasatan Jenayah Binjai Timur menyiasat penghuni rumah kongsi terbabit.

“Hasil soal siasat, seorang mak nyah dikenali sebagai Ayu melihat dua individu dikenali sebagai Ede dan Puput Kurik (belum tertangkap) membuka ruang simpanan motosikal mangsa.

“Mereka mengambil wang itu sebelum Ede mengagihkan sembilan juta Rupiah (kira-kira RM2,551) kepada rakannya, mak nyah dikenali sebagai Anggun.

“Anggun pula memberikan wang kepada Hendra Admaja atau Abel untuk dibahagikan kepada 11 penghuni rumah kongsi yang lain dengan setiap seorangnya menerima 800 ribu rupiah (kira-kira RM228),” katanya.

Sehingga kini, polis sudah menahan enam mak nyah dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes berkenaan.