Disale dinobat pemenang Hadiah Guru Global 2020

London: Usahanya menarik minat anak-anak muda di kawasan pedalaman menimba ilmu, menobatkan guru India sebagai pemenang Hadiah Guru Global 2020.

Ranjitsinh Disale diumumkan sebagai pemenang anugerah berprestij itu dalam satu majlis secara maya yang disiarkan secara langsung dari Muzium Sejarah Semula Jadi di London, semalam.

Lebih manis, guru berkenaan yang memenangi AS$1 juta (RM4.06 juta) itu berkongsi sebahagian wang kemenangan kepada sembilan rakan finalis antaranya dari Itali, Nigeria dan Korea Selatan.

Disale dipilih daripada 12,000 pencalonan dari 140 negara di seluruh dunia.

Disale berkata, pandemik Covid-19 menunjukkan bertapa pentingnya pendidikan kepada masyarakat.

“Dalam masa sukar ini, guru memberikan usaha terbaik mereka untuk memastikan setiap pelajarnya dapat akses pendidikan yang sempurna.

“Semua guru ialah pembuat perubahan sebenar yang mengubah kehidupan pelajar mereka dan atas dasar semangat inilah saya mahu berkongsi kemenangan dengan rakan finalis lain,” katanya.

Guru berkenaan mula mengajar di Sekolah Rendah Zilla Parishad yang terletak di sebuah perkampungan kecil berdekatan Solapur, Maharashtra, barat India, pada 2009.

Tahun demi tahun dalam tempoh perkhidmatannya, dia berjaya mengubah kehadiran masyarakat setempat daripada hanya dua peratus kepada 100 peratus.