Ditembak mati tak pakai penutup mulut dan hidung

Manila: Ketegangan di Filipina akibat pandemik Covid-19 kian memuncak apabila seorang lelaki ditembak mati dipercayai mengamuk menggunakan sabit selepas ditegur enggan memakai penutup mulut dan hidung.

Al-Jazeera melaporkan, mangsa berusia 63 tahun itu dikatakan marah selepas diberi amaran daripada anggota kesihatan di bandar Nasipit di selatan negara itu.

Lelaki itu dipercayai mabuk dan mengacukan sabit kepada anggota kesihatan di sebuah pusat pemeriksaan Covid-19.

“Suspek ditegur oleh pekerja kesihatan desa kerana tidak memakai penutup mulut dan hidung.

“Teguran itu menaikkan kemarahan suspek yang akhirnya menyerang anggota menggunakan sabit,” kata laporan itu.

Tindakan itu menyebabkbn seorang pegawai polis menembaknya hingga mati selepas dilaporkan cuba menenangkannya.

Kejadian itu adalah pembunuhan pertama berkaitan Covid-19 selepas Presiden Rodrigo Duterte memberi amaran kepada sesiapa yang tidak mengikuti perintah berkurung akan ditembak.

Dalam satu iklan di televisyen minggu lalu, Duterte mengatakan semua orang perlu memberi kerjasama untuk kuarantin diri di rumah.

Beliau berkata, melanggar perintah kuarantin adalah kesalahan dan jenayah serius yang tidak akan diterima.

“Ia (Covid-19) semakin teruk. Jadi sekali lagi saya ingin memaklumkan masalah ini sangat serius, dan anda mesti patuh.

“Pesanan saya kepada polis dan tentera… jika ada masalah dan keadaan yang mana mereka melawan serta boleh membahayakan nyawa, tembak mati mereka”

“Adakah itu difahami? Mati. Daripada menyebabkan masalah, saya akan mengebumikan kamu”

Amnsesty International mengutuk ucapan itu sebagai ‘sangat membimbangkan’ dan berkata mereka mengikuti laporan hukuman tidak berperikemanusiaan untuk penindasan hukum bagi menangani Covid-19 seperti ditahan dalam kandang anjing dan duduk berjam-jam di bawah matahari terik.

Setakat hari ini, Filipina mencatatkan 3,660 kes positif Covid-19 dengan 414 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19