Ditikam ketika berceramah

Jakarta: Seorang penceramah kelahiran Arab Saudi cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika menyampaikan ceramah pada satu program di Lampung, semalam.

Pada kejadian itu, Syeikh Ali Jaber yang sudah memiliki kerakyatan Indonesia ditikam dengan pisau di bahagian lengan kanannya.

Akibatnya, lelaki itu mengalami luka sedalam empat sentimeter.

Ketua Polis Wilayah Lampung Purwadi Arianto berkata, ketika kejadian, ada beberapa polis mengawal lokasi program ceramah berkenaan.

“Secara tiba-tiba, seorang lelaki menyerang Ali Jaber dan menikamnya,” katanya seperti dilaporkan Jakarta Globe.

FOTO kejadian yang tular.
FOTO kejadian yang tular.

Beliau berkata, susulan kejadian, suspek, lelaki yang berusia 24 tahun ditahan polis.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek gemar menonton ceramah Ali Jaber secara dalam talian

“Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Ali Jaber yang diberi rawatan kecemasan meneruskan program jelajah ceramahnya di wilayah itu, pada hari sama.

Bagaimanapun, polis turut mengerahkan anggotanya berkawal di lokasi program ceramah bagi mengelak kejadian sama berulang.

Dalam pada itu, Ali Jaber menggesa orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang isu berhubung kejadian berkenaan.

Beliau juga yakin pihak berkuasa termasuk polis akan menyelesaikan siasatan kes itu dengan telus.

“Jangan mengaitkan kejadian ini dengan apa-apa sahaja termasuk politik. Saya tidak mahu perkara seperti itu,” katanya.