Doktor ‘gemar’ buang rahim penghuni penjara

Washington: Doktor di sebuah pusat tahanan pendatang asing di Amerika Syarikat (AS) didakwa melakukan kesilapan dengan melakukan pembedahan membuang rahim puluhan wanita.

CNN melaporkan ia selepas seorang bekas kakitangan di pusat berkenaan membuat aduan jumlah pembedahan membuang rahim yang didakwa tinggi di pusat itu.

Kakitangan berkenaan mendakwa kebanyakan wanita terbabit tidak faham penerangan doktor sehingga mereka bersetuju untuk menjalani prosedur yang dicadangkan.

Dawn Wootern berkata, kejadian itu berlaku di Pusat Tahanan Irwin, di Ocilla, Georgia.

Dakwanya, kebanyakan kes membabitkan tahanan wanita yang mempunyai sista (cyst).

Menurutnya, dia juga tidak yakin semua pendatang wanita yang menjalani prosedur itu sedar bahawa rahim mereka akan dikeluarkan doktor terbabit.

Dakwanya, ada juga kes di mana doktor membuang ovari di bahagian yang salah pada seorang wanita muda.

Akibatnya, wanita terbabit perlu menjalani pembedahan kali kedua untuk membuang ovari yang bermasalah.

“Bagaimanapun, doktor kemudian membuang rahim wanita itu,” katanya.

Pada masa sama, Wootern turut membangkitkan cara pusat tahanan berkenaan dalam menangani Covid-19.