Doktor gigih temui pesakit di pedalaman

New Delhi: Pada usianya yang menjangkau 87 tahun, seorang doktor homeopati di India, masih gigih berjalan kaki dan berbasikal menabur bakti kepada pesakit di pedalaman.

Tanpa memikirkan keadaan diri sendiri, setiap hari warga emas itu menunggang basikal dalam keadaan tidak memakai kasut dan menempuh perjalanan 10 kilometer.

Dr Ramchandra Danekar turut membawa peralatan perubatan untuk membantu merawat penduduk yang tidak mendapat akses kesihatan.

Bahkan kelibatnya di Mul, Pombhurna dan Balharshah yang kebanyakan dihuni penduduk miskin bukan asing lagi sejak 60 tahun lalu.

Dr Ramchandra dianggap wira tidak didendang apabila menabur bakti seumur hidupnya dengan melawat dan memberikan rawatan dari pintu ke pintu di perkampungan terbabit.

Dengan adanya insan mulia seperti Dr Ramchandra, penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan terpencil dapat menerima rawatan perubatan asas.

Homeopati adalah rawatan alternatif untuk mengubati sesuatu penyakit, selain kaedah biasa.

Di United Kingdom dan Amerika Syarikat, homeopati sudah lama mendapat perhatian ramai sehingga tertubuhnya banyak universiti dan kolej menawarkan kursus berkaitan rawatan ini.

Di negara seperti India dan Pakistan pula homeopati adalah sistem rawatan utama dan diiktiraf kerajaan negara itu.

Dr Ramchandra berkata, walaupun dunia diasak dengan peningkatan kes Covid-19, ia tidak sedikitpun melunturkan semangatnya untuk meneruskan rutin hariannya itu sejak 60 tahun lalu.

“Sejak 60 tahun lalu saya melawat penduduk kampung hampir setiap hari.

“Ketika Covid-19 ini, ramai doktor takut merawat pesakit miskin tetapi saya tidak.

“Rutin saya tetap sama macam dulu. Saya mahu terus menyediakan perkhidmatan untuk merawat penduduk miskin,” katanya seperti dipetik dalam portal India Times.