Doktor ‘menyamar’ Batman

New Delhi: Mulia hati seorang doktor bukan saja berbakti merawat pesakitnya, malah sanggup menyamar menjadi Batman demi memenuhi impian pesakit ciliknya.

Rakaman video seorang doktor memakai kostum Batman hadir membuat kejutan ketika melawat pesakit kanser tular selepas dikongsikan di akaun Twitter, The Feel Good Page, pada 15 November lalu.

Berdasarkan video itu, kanak-kanak itu gembira selepas impiannya untuk bertemu Batman menjadi kenyataan, malah tindakan doktor itu memeluk pesakitnya amat menyentuh emosi dan meruntun hati.

Menurut keterangan pada perkongsian video itu, doktor terbabit bertanya kepada pesakitnya apa impiannya.

Kanak-kanak itu mengimpikan bertemu dengan Batman sebelum doktor itu memutuskan menyamar sebagai Batman bagi memenuhi impian pesakitnya itu.

Memetik portal India Today, kehadiran Batman itu di hospital membuatkan kanak-kanak itu gembira.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi dan bila video berkenaan dirakam.

Sehingga kini, video berdurasi 0.44 saat itu meraih lebih 419,000 tontonan dan lebih 2,000 komen yang memuji usaha doktor itu menceriakan pesakitnya.