Dua angkasawan AS pulang ke bumi

Washington: Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang juga pengemudi Kapal angkasa SpaceX Crew Dragon berlepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), semalam untuk pulang ke bumi.

Perjalanan angkasawan Doug Hurley and Bob Behnken kembali ke bumi itu dikongsikan NASA menerusi satu rakaman.

“Pemisahan disahkan dan Dragon melakukan empat pelepasan untuk jauh dari @Space_Station,” menurut ciapan SpaceX dalam Twitternya diikuti kapsul berpisah dengan lancar mengikut masa ditetapkan.

Menurut NASA, kapsul berkenaan disahkan ‘berada di lintasan selamat’

“Sekarang adalah fasa masuk, turun dan pecah setelah kita melepaskannya, mudah-mudahan sedikit hari ini (kapsul selamat tiba di bumi),” kata Hurley dalam upacara perpisahan di atas ISS yang disiarkan di TV NASA.

Terdahulu, semasa upacara di ISS, Behnken mengatakan bahagian paling sukar adalah ketika proses pelancaran namun menegaskan bahagian paling penting adalah untuk membawa mereka pulang.

Sementara itu, Ketua Misi Chris Cassidy menyifatkan ia sebagai hari yang menggembirakan dan memuji pentingnya memiliki cara baru untuk mengangkut angkasawan.

Untuk rekod, misi yang dilancarkan pada 30 Mei, menandakan kali pertama kapal angkasa memasuki orbit dari tanah Amerika sejak 2011.

AS membayar SpaceX dan syarikat penerbangan aeroangkasa Boeing sebanyak AS$7 bilion untuk kontrak ‘teksi angkasa’ mereka.

Sejak sembilan tahun terakhir, angkasawan AS melakukan perjalanan secara eksklusif dengan roket Soyuz Rusia, dengan harga sekitar AS$80 juta bagi satu tempat duduk.