Dua remaja bunuh rakan, campak ke lombong

Jakarta: Hanya kerana dendam, dua remaja di Jawa Timur, Indonesia sanggup membunuh rakan mereka dengan mencampakkan mangsa ke dalam kolam bekas lombong, baru-baru ini.

Seorang daripada suspek bertindak mengambil telefon bimbit mangsa yang dikenali sebagai Akhmad Arinal Hakim, 14, dan tanpa rasa bersalah menggunakan gajet itu untuk bermain permainan dan melayari Faceboook (FB).

Tribun News melaporkan kejadian berlaku pada 28 Oktober lalu dan mayat mangsa ditemui di bekas lombong di Bungah, dua hari kemudian.

Peguam bela tertuduh, Sulton berkata, pembunuhan itu berlaku kerana anak guamnya sakit hati dengan mangsa kerana mempermainkan ibu bapanya dan cuba merampas kekasihnya.

“Kedua-dua tertuduh mengakui perbuatannya didorong oleh rasa sakit hati terhadap mangsa.

“Sebelum membunuh mangsa, kedua-dua tertuduh mengajak rakan mereka berjalan sebuah kawasan iaitu Bukit Jamur .

“Sebaik tiba di lokasi, mereka mengikat tangan dan kaki mangsa sebelum menghumbannya ke dalam lombong berkenaan.

“Mereka sempat mengambil telefon bimbit di dalam poket mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Kedua-dua suspek kemudiannya bersembunyi di rumah masing-masing di Sidoarjo.

Namun, polis akhirnya menangkap kedua-duanya untuk disoal siasat.

Ketua kampung Sidokumpul, Ahmad Asyar mengesahkan mangsa adalah salah seorang penduduk yang dilaporkan hilang sejak meninggalkan rumah pada 28 Oktober lalu iaitu sambutan Maulidur Rasul.

“Rumah suspek dan mangsa, tidak jauh, iaitu kira-kira 200 meter saja.

” Malah, mereka adalah rakan sepermainan memandangkan tinggal sekampung.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini” katanya

Mayat mangsa dibedah siasat sebelum dikebumikan di kampung halamannya.