Duit misteri rupanya wang curi

Palembang: Penduduk sebuah kampung di Tulung Selapan di sini, gempar apabila menerima wang jutaan rupiah daripada individu tidak dikenali sejak tiga tahun lalu.

Hampir semua penduduk kampung berhampiran hutan itu memperoleh wang misteri yang dipindahkan ke akaun bank mereka, sekali gus mendorong beberapa yang lain membuka akaun untuk menerima wang sama.

Pindahan wang daripada pelbagai nombor akaun itu bermula sejak 2017 hingga kini dengan nilainya mencecah 21 juta rupiah (hampir RM6,000).

Perbankan Indonesia dan polis yang curiga dengan transaksi dan pembukaan akaun bank beramai-ramai, kemudian melakukan siasatan yang membongkar kegiatan sindiket penipuan dan kecurian wang.

Tribunnews melaporkan 10 suspek ditahan di sekitar kampung itu pada Isnin, namun Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis, Inspektor Jeneral Argo Yuwono tidak memperincikan individu berkenaan.

“Mangsa membabitkan orang awam dan pihak bank yang mengalami kerugian menerusi transaksi perbankan online.

“Modus operandi sindiket ini adalah mengambil wang mangsa kemudian dimasukkan ke akaun bank penduduk kampung, malah hampir semua penduduk diminta untuk membuka akaun bank,” katanya yang memberitahu gerakan kumpulan itu dilakukan secara berstruktur.

Jelasnya, ada ahli bertindak sebagai pencari dan mengajar penduduk cara membuka akaun bank, manakala akaun itu kemudian dijadikan tempat menyimpan wang curi buat sementara, sebelum dikeluarkan.

Sindiket itu beroperasi di pondok dalam hutan selain di kediaman di kampung berkenaan dan bermotif memperoleh kesenangan dengan mudah.

“Selepas disiasat ada antara ahli kumpulan itu mampu memperbaiki kehidupan mereka, memiliki rumah yang elok dan kereta. Sekurang-kurangnya sebanyak lapan juta rupiah (RM2,261) sudah dibelanjakan,” katanya.