Duterte hanya ambil Sputnik V selepas ia sah selamat

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan menguji keberkesanan vaksin Covid-19 dari Rusia selepas ia disahkan selamat.

Jurucakapnya, Harry Roque berkata, Duterte dijadualkan mendapat vaksin berkenaan selepas 1 Mei tahun depan, beberapa minggu selepas ujian klinikal fasa tiga vaksin itu berakhir sekitar Mac 2021.

Pentadbiran Ubat dan Makanan Filipina menjangka untuk meluluskan vaksin berkenaan pada April tahun depan.

“Kumpulan keselamatan presiden (PSG) hanya membenarkan ia dilakukan pada 1 Mei, selepas ujian kelayakan selesai,” katanya.

Katanya, pakar di Filipina akan menilai keputusan ujian klinikal fasa 1 dan 2 vaksin itu pada bulan depan sebelum negara Asia Tenggara memulakan ujian fasa ketiga.

“Kami akan lakukan serentak dengan Rusia,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Duterte menawarkan diri untuk menjadi ‘tikus makmal’ bagi menguji keberkesanan vaksin Covid-19 dihasilkan Rusia yang diberi nama Sputnik V.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19