Elon Musk dakwa piramid dibina oleh makhluk asing

Kaherah: Mesir mempelawa Elon Musk untuk mengujungi piramid yang berada di negara berkenaan selepas pengasas SpaceX dan Tesla itu memuat naik hantaran berbaur satira mengatakan bahawa monumen itu dibina makhluk asing.

“Makhluk asing yang membina piramid,” katanya melalui hantaran di Twitter.

Pengguna Twitter dari Mesir ‘naik angin’ dengan kenyataan itu dan meminta hartawan itu menyelidik fakta terlebih dahulu.

Menteri Kerjasama Antarabangsa Mesir, Rania al-Mashat, seorang pengguna aktif media sosial, bagaimanapun melihat hantaran berbaur sinis itu sebagai peluang pemasaran untuk meningkatkan semula sektor pelancongan negara selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Saya mengikut rapat kerja kamu dengan rasa kagum.

“Saya menjemput kamu dan SpaceX untuk melihat sendiri bagaimana piramid dibina dan boleh juga ziarahi kubur mereka yang terbabit dalam pembinaan piramid.

“Encik Musk, kami menanti kamu,” katanya.

Musk kemudiannya menyiarkan pautan ke artikel BBC mengenai sejarah monumen itu, menyebutnya “ringkasan yang masuk akal” mengenai bagaimana ia dibina.

Piramid paling popular dan besar di Mesir, Piramid Giza yang terletak di luar Kaherah, dibuka semula kepada pengunjung selepas ditutup selama tiga bulan akibat Covid-19.

Sektor pelancongan Mesir berdepan kekacauan selama satu dekad selepas tunjuk perasaan Arab Spring 2011 dan penggulingan diktator lama Hosni Mubarak, dengan serangan militan dan ketidakstabilan politik yang menjejaskan kehadiran pelancong.