EU mohon dana bangunkan vaksin Covid-19

KESATUAN Eropah (EU) akan menganjurkan persidangan penderma vaksin Covid-19 pada 4 Mei depan.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen berkata, persidangan itu bagi membiayai penciptaan dan penyebaran vaksin secara global bagi melawan wabak itu.

“Vaksin adalah usaha terbaik kita dalam menewaskan virus.

“Untuk menyokong inisiatif global ini, kita perlukan dana,” katanya dalam sidang media video hari ini.

Ikrar janji persidangan itu akan dijalankan secara atas talian dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, badan amal kesihatan Wellcome Trust of Britain dan Yayasan Gates milik jutawan teknologi Amerika Syarikat, Bill Gates akan mengambil bahagian.

“Saya harap semua negara dan organisasi di seluruh dunia akan memberi maklum balas dan menyahut seruan ini,” katanya.

Ketika ini, puluhan vaksin sedang diteliti di seluruh dunia, namun pakar berpandangan prosedur bagi memastikan keberkesanannya selain menguji kemungkinan kesan sampingannya akan memakan masa sekurang-kurangnya setahun.

Seterusnya, pengeluaran dalam menyediakan bekalan global vaksin sudah pasti memerlukan beberapa bulan lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19