Facebook sekat iklan berkaitan antivaksin

San Francisco: Facebook mengumumkan menyekat iklan yang tidak menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

Gergasi media sosial itu berkata, keputusan itu dibuat susulan pihaknya mengutamakan amalan kepentingan pencegahan penyakit.

“Walaupun pakar kesihatan awam bersetuju kita belum lagi mempunyai vaksin Covid-19 yang diluluskan dan boleh diperoleh dalam waktu terdekat, ada beberapa langkah yang masyarakat boleh ambil untuk kekal sihat dan selamat,” kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.

Facebook turut mengharamkan maklumat salah dan palsu yang dikenal pasti institusi kesihatan awam seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC).

Syarikat itu akan membenarkan iklan sama ada menggesa atau menghalang peraturan kerajaan berkaitan vaksinasi.

Facebook turut merancang untuk melancarkan kempen maklumat awam di Amerika Syarikat (AS) yang mendorong orang ramai mendapatkan vaksin untuk berdepan selesema bermusim.

Vaksin untuk merawat Covid-19 masih menjadi harapan dan kunci untuk mengatasi wabak berkenaan ketika beberapa makmal sedang berusaha membangunkan vaksin itu.

Gergasi teknologi itu sering dituduh menyokong pergerakan antivaksin menyebarkan fahaman salah.

Menurut pihak berkuasa kesihatan AS, jumlah kanak-kanak yang berjaya mencapai usia dua tahun tanpa vaksinasi mencecah lebih 0.9 peratus dalam kalangan mereka yang lahir pada 2011 dan 1.3 peratus bagi yang lahir pada 2015.

Jumlah permohonan untuk menolak vaksin juga meningkat pada 2017 – 2018 di AS untuk tahun ketiga berturut-turut.

Satu kajian utama dalam kalangan 650,0000 kanak-kanak Denmark yang perkembangan mereka dipantau secara rapat selama lebih sedekad mendapati vaksin bagi beguk, campak dan rubela (MMR) tidak membawa sebarang risiko autism, bertentangan dengan teori yang diangkat aktivis antivaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19