Gajah makan sampah

Colombo: Menyedihkan apabila sekumpulan gajah dirakam makan sisa makanan dan sampah di sebuah tapak pelupusan sampah di Oluvil, timur laut Sri Lanka.

Gambar menyayat hati itu dirakam Tharmaplan Tilaxan mengundang hiba masyarakat dunia.

Menerusi gambar itu juga, Tharmaplan mengungguli tempat pertama Pertandingan Fotografi Biologi dan Masyarakat Diraja, baru-baru ini.

Tapak pelupusan sampah itu terletak berhampiran hutan yang menjadi kawasan yang dilindungi untuk populasi mamalia itu.

Portal Mirror melaporkan, jurugambar itu mendapat maklumat gajah liar di kawasan berkenaan hidup dalam keadaan yang menyedihkan.

Bagi mendapatkan kepastian itu, Tharmaplan pergi ke lokasi berkenaan untuk meninjau sendiri kehidupan sebenar haiwan itu yang dikatakan memakan sisa makanan dan sampah.

“Sebaik tiba, saya melihat beberapa gajah mencari makanan di kawasan pelupusan sampah berkenaan,” kata Tharmaplan.

Dikhabarkan, antara 25 dan 30 gajah liar mencari makanan berhampiran perkampungan sehingga menimbulkan konflik antara manusia dan haiwan terbabit.