Gas bocor: 18 pelombong maut

Beijing: Seramai 18 pelombong disahkan meninggal dunia pada Sabtu selepas kejadian kebocoran gas monoksida di lombong arang batu di barat daya China, pada Jumaat.

Media rasmi negara itu melaporkan bahawa pasukan penyelamat kini giat menjalankan kerja-kerja menyelamatkan lima lagi mangsa yang masih terperangkap.

CCTV melaporkan terdapat 24 pelombong ketika kejadian di sebuah lombong di Diaoshuidong, Chongqing itu.

Sehingga pagi Sabtu, seorang mangsa berjaya diselamatkan, manakala 18 lagi individu disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika pekerja sedang meleraikan peralatan melombong.

Sebelum ini, lombong itu ditutup selama dua bulan.

Pada 2013, seramai tiga orang meninggal dunia dalam kemalangan di lokasi sama, lapor Xinhua.

Kemalangan di lombong bukan perkara baru di China.

September lalu, seramai 16 pekerja lombong terbunuh di satu lagi lombong di pinggir Chongqing selepas sawat penyampai (conveyer belt) disambar api dan menyebabkan paras karbon monoksida tiba-tiba meningkat kepada paras bahaya.