Gentar ancaman adik Jong Un?

Seoul: Korea Selatan mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar pada Ahad lalu selepas adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengancam tindakan ketenteraan terhadap negara jiran itu.

Kim Yo Jong yang juga pembantu Jong Un melabel Korea Selatan sebagai musuh dan memberi amaran dia akan membiarkan tentera memutuskan untuk membalas dendam ke atas pembelot dari Korea Utara yang mencetuskan propaganda.

“Saya memberi arahan kepada jabatan yang bertanggungjawab atas urusan dengan musuh untuk melakukan tindakan selanjutnya dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pemerintah.

Ucapannya mendorong pengarah keselamatan nasional Korea Selatan, Chung Eui-yong mengadakan persidangan video darurat pada Ahad dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan tentera.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang menangani hubungan dengan Korea Utara kemudian mengatakan pemimpin memandang serius situasi semasa.

“Korea Selatan dan Korea Utara harus berusaha menghormati semua perjanjian yang dicapai,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Pertahanan juga mengatakan pihaknya memantau ketenteraan Korea Utara dan pihaknya bersedia untuk bertindak balas.

Hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan tegang dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Ia selepas Pyongyang kecewa kerana kurangnya kemajuan dalam rundingan nuklear dengan pentadbiran Trump, yang disokong oleh Presiden Korea Selatan Moon Jae-in.