Gila YouTube

Moscow: Ghairah mahukan jumlah tontonan, seorang YouTuber Rusia tergamak melakukan penstriman langsung ketika teman wanitanya yang hamil meninggal dunia akibat hipotermia.

Toronto Sun yang memetik Daily Mirror melaporkan kejadian di kampung Ivanovka berhampiran Moscow itu berlaku apabila Stanislav Reeflay, 30, memaksa Valentina Grigoryeva,28, keluar ke balkoni dalam keadaan cuaca sejuk.

Wanita itu yang sudah hamil menuruti permintaan teman lelakinya dengan hanya memakai pakaian dalam saja.

Reeflay bagaimanapun tetap merakam kejadian itu secara langsung walaupun menyedari Valentina sudah tidak sedarkan diri.

Akibatnya, wanita itu meninggal dunia serta-merta di rumah sewa itu kerana serangan hipotermia.

Dalam rakaman itu, lelaki itu dilihat mengangkat wanita itu masuk semula ke dalam rumah dan cuba mengejutnya.

“Valya, kenapa dengan awak? Awak masih hidup ke?

“Tiada denyutan…dia pucat. Dia tidak bernafas lagi,” kata lelaki itu kepada puluhan pengikutnya yang menyaksikan kejadian itu secara langsung.

Walaupun selepas paramedik mengesahkan kematian wanita itu, lelaki itu masih terus melakukan rakaman.

Difahamkan, video itu berlanjutan selama dua jam selepas kematian wanita itu.

Susulan kejadian, Reeflay ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai menerima pembayaran daripada jumlah tontonan video berkenaan.

Berdasarkan laporan media Baza, Reeflay menerima bayaran 1,400 Dolar Kanada (kira-kira RM4,446) kerana melakukan perbuatan itu.