Giuliana Rancic positif Covid-19

Los Angeles: Dua selebriti terpaksa melepaskan tugas mengacarakan acara karpet merah di Anugerah Emmy selepas kedua-duanya positif Covid-19.

Pengacara popular saluran E!, Giuliana Rancic dan koresponden khas, Vivica A Fox terpaksa digantikan dengan Brad Goreski dan Nina Parker.

Giuliana , 46, menerusi pesanan videonya berkata, seluruh ahli keluarganya disahkan positif virus berkenaan.

Menurutnya, dia bersama suami, Bill, 49, bersama-sama anak mereka, Duke, 8, kini menjalani pengasingan di rumah mereka.

“Sebagai mematuhi garis panduan yang ketat untuk E! dan NBCUniversal terutama menjelang acara besar seperti ini, saya menjalani ujian saringan sebelum disahkan positif.

“Saya sangat lega kerana mengetahuinya sebelum saya melakukan perjalanan atau menjangkiti orang lain. Jadi, saya amat lega,” katanya.

Menurut Giuliana, dia dan dua ahli keluarganya berada dalam keadaan baik.

“Saya berharap anda semua dapat melindungi keluarga anda dan menjaga mereka daripada virus ini. Jaga diri dan semoga berjumpa di acara karpet merah seterusnya,” katanya.